Tuesday 4 October 2011

Apabila Allah melindungi....

Dengan nama Allah....

Pada hari Ahad yang lepas, seperti biasa pada malamnya saya akan menyiapkan keperluan sekolah Nusayr dan Nuwayr. Pada waktu yang sama, saya mencuci pinggan mangkuk yang masih ada di dalam sinki. Seperti biasa, saya tidak boleh tidur selagi dapur tidak bersih hehehe....

Sambil mencuci, si kecil Nuwayr 'berborak-borak' dengan saya. Dia menunjuk pelbagai gaya. Tunjuk ke kanan, tunjuk ke kiri sambil mulutnya muncung ke depan. Saya memanaskan botol susunya dalam periuk kecil di atas api kecil. Saya tutup pintu, berhati-hati takut Nuwayr ke sana. Saya sambung menyiapkan bahan-bahan bagi menyediakan sarapan pagi pada esok hari. Sejak saya menjalankan praktikal di sebuah universiti, pagi saya agak sibuk. Seawal jam 4.30 pagi saya sudah bangun. Waktu untuk saya menyediri. Kemudian saya mula menggosok pakaian, menyiapkan beg anak-anak dan menyediakan sarapan pagi dan bekal untuk kami bawa.

Kembali ke malam itu, Nuwayr menarik tangan saya sambil mulutnya berkata sesuatu. Saya faham sangat maksud itu. Dia mengajak ke bilik tidur bagi menyusu dan menemaninya tidur. Seperti biasa, suami saya akan melayan Nusayr sebelum tidur. Anak-anak akan membaca doa tidur. Suami pula akan bertanya soalan biasa, "Apa yang menggembirakan Nusayr hari ini? Nusayr sudah melakukan banyak perkara baik hari ini. Boleh Nusayr beritahu papa? Alhamdulillah, kita melalui hari yang bahagia. Insyaallah kita bertambah bahagia esok hari. Apabila kita bangun, badan kita segar, minda kita segar dan kita gembira. Sekarang, pejam mata dan katakan saya mahu berehat."

Saya pula tidak berniat bagi melelapkan mata kerana saya mahu menyelesaikan beberapa kerja. Lagipun, jam baru 9.30 malam. Tetapi, saya tidak sedar bila saya tertidur.... zzzz

Jam 2 pagi, saya terbangun seolah-olah ada sesuatu mengejutkan saya. Saya bangun mahu mengejutkan suami. Biasanya suami akan bangun awal apabila beliau tidur awal. Tiba-tiba, hidung saya terbau sesuatu. "Astaghfirullah!" Saya berlari-lari ke dapur. Betul jangkaan saya! Allahuakbar! Saya terlupa menutup api dapur. Cuainya! Saya terkejut melihat botol susu anak saya sudah mencair. Tudung botol sedang mencair. Saya cepat-cepat tutup api. Alhamdulillah saya bersyukur kerana Alalh melindungi kami, jika tidak saya tidak tahu apa nasib kami. Apa nasib jiran-jiran, wal'iyazubillah.

Selepas peristiwa itu, saya semakin berhati-hati. Kalau dulu, setiap kali mahu tidur atau keluar rumah saya akan memastikan semua suis, api dapur sudah ditutup. Kali ini, saya memastikan beberapa kali, sebelum tidur atau keluar rumah.

Semua ini selamat apabila Allah melindungi kami....

No comments:

Post a Comment