Tuesday 4 October 2011

ABC....


Dengan nama Allah....


"Alamak, saya belum bayar bil!"

"Aduh, tugasan ini belum siap lagi"

"Klien sudah minta proposal"

"Minggu depan ada program. Saya belum siap outline!"

"Baju kotor semakin bertimbun!"


Pernahkah dialog-dialog di atas bermain di fikiran tuan puan? Ini dialog biasa saya, suatu ketika dahulu sebelum saya mengaplikasi Kaedah ABC daripada buku 55 Petua Orang Berjaya.

Saya yakin tuan puan mengetahui kepentingan menentukan prioriti dalam kerja seharian, tetapi sering kali tidak tahu bagaimana hendak menentukan prioriti. Mungkin tuan puan boleh menggunakan Kaedah ABC. Kaedah ini sememangnya banyak disebut oleh pakar-pakar pengurusan, antaranya Alan Lakein. Kaedah ABC begitu dihargai sehingga dianggap sebagai ‘datuk’ kepada strategi menentukan prioriti.

Bagaimana caranya? Kita mula dengan mengkategori tugasan-tugasan kepada tiga jenis tugasan iaitu A, B, dan C seperti berikut:

1) Tugasan A adalah tugasan yang mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai pelaksanaannya, tugasan seperti ini dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, ia membawa bencana, kesusahan dan kerugian kepada hidup saudara. Unsur segera juga sangat penting dalam tugasan A.

2) Tugasan B pula adalah tugasan yang penting tetapi tidak sepenting tugasan A. Ia boleh ditangguhkan, tetapi tidaklah terlalu lama. Bahkan, mungkin dalam beberapa jam kemudian tugasan B boleh bertukar menjadi tugasan A.

3) Tugasan C adalah tugasan yang boleh diketepikan tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Kita masih boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat apabila saudara terpaksa mengabaikannya. Kita juga boleh melambat-lambatkan sesetengah tugasan ini kerana ada tugasan yang tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir pun, jaraknya masih jauh lagi. Namun, Tugasan C boleh juga bertukar menjadi tugasan A dan B apabila tarikh akhir menjadi semakin hampir.

Tidak cukup tiga kategori ini? Jangan bimbang, kerana ada satu lagi kategori tugasan ‘tambahan’. Ia dipanggil ‘tugasan D’. Apakah itu tugasan D? Tugasan D adalah kerja-kerja, yang secara teorinya kita tidak perlu melakukannya. Biasanya tiada tarikh akhir.

Sekiranya kita tidak melakukannya, hidup kita tidak terjejas dan tiada masalah yang akan timbul. Tetapi apabila kita berjaya melaksanakannya, kita berasa seronok dan puas. Kadangkala, apabila kita melakukannya (semasa kita tidak ada perkara lain hendak dibuat), kita akan memperoleh ‘habuan’ yang tidak disangka-sangka.

Contohnya, kita mengisi beberapa minit masa terluang bagi menelefon rakan sekolah lama selepas lima tahun tidak bertanya khabar. Tiada apa yang penting dan segera. Sekiranya tidak menelefon pun kuta tidak kehilangan apa-apa. Tetapi kita mendapat tahu rakan itu ahli perniagaan berjaya dan menawarkan satu peluang perniagaan yang sungguh lumayan! Untung, bukan? Oleh itu, jangan melecehkan ‘kuasa’ yang ada pada tugasan D ini.

Selamat menyempurnakan tugasan mengikut prioriti :)


www.KuasaMotivasi.com
*Petua 23, 55 Petua Orang Berjaya

No comments:

Post a Comment