Tuesday 11 October 2011

Cinta kepada dunia kaunseling.....

Dengan nama Allah.....

Assalamualaikum semua. Saya mendoakan semoga tuan puan semua berada dalam jagaan dan kasih sayang Allah yang berterusan, amin....

Petang ini saya agak letih (insyaallah letih yang berpahala, amin). Jadi, saya mengambil masa terluang sebentar ini bagi melepaskan 'lelah' saya. Saya ingin sekali berkongsi cerita cinta terhadap dunia kaunseling bersama tuan puan.

Saya kerap mendengar cakap-cakap mengatakan kaunseling adalah bagi orang yang 'sakit mental'. Tidak sama sekali! Kaunseling bukan tempat orang sakit mental. Kaunseling adalah satu profession yang berlandaskan kod etika profesional oleh Lembaga Kaunselor Negara bagi membantu orang yang mempunyai masalah harian ('daily life'). Bagaimana membantu? Adakah kaunselor klien orang yang bermasalah menyelesaikan masalah bagi pihaknya? Tidak, kaunselor tidak mengambil alih peranan klien. Kaunselor cuma membantu klien mencari jalan penyelasaian mengikut situasi klien itu. Kaunselor tidak boleh mengarahkan klien melakukan itu atau ini. Tugas kaunselor cuma membantu klien mencari 'direction' terhadap penyelesaian sesuatu isu. (Kami tidak menggunakan perkataan 'masalah' tetapi 'isu'.)

Kaunselor perlu banyak bercakap? Tidak, tetapi sebaliknya klien perlu banyak mendengar. Mendengar dengan empati iaitu kaunselor perlu menghadirkan diri dan minda atau kami selalu menggunakan perkataan 'attending'. Empati pula adalah keadaan di mana kaunselor perlu memahami isu klien seolah-olah kaunselor berada di dalam 'kasut' klien tersebut. Bukan sahaja simpati tetapi juga empati.

Setiap kali saya mendengar isu klien, saya menjadi agak penat. Mungkin kerana, tugas kami sebagai kaunselor, kami perlu banyak mendengar dan memberi sepenuh perhatian terhadap perbincangan kami. Mendengar sesuatu isu adalah sangat membebankan fikiran dan perasaan saya. Apalagi, isu itu agak rumit kepada kita yang tidak pernah melaluinya. Saya berasa agak penat kerana saya perlu 'absord' poin-poin penting. Saya perlu mendalami perasaan klien. Namun begitu, saya sangat gembira apabila melihat klien senyum di akhir sesi dan meminta bagi mengadakan sesi seterusnya. Ia menandakan klien begitu selesa dan percaya kepada saya.

Bukan tugas kaunselor bagi mengorek cerita-cerita lama klien. Hanya satu teori sahaja yang menegaskan kaunselor perlu mengorek cerita lama (past story) iaitu Teori Psikoanalisis oleh Tuan Freud. Kaunselor pula tidak wajib mengaplikasi teori ini. Bagi saya, saya memilih Teori Person-Centered oleh Carl Rogers. Teori ini memberi penekanan bahawa kaunselor perlu ada empati, kejujuran (genuineness) dan penerimaan tanpa kondisi tertentu (unconditional positive regard) terhadap klien. Saya juga suka memilih Teori Realiti. Teori ini mengatakan kita perlu membuat pilihan dan perlu bertanggungjawab atas semua pilihan yang kita buat. Saya juga suka kepada Teori Behaviour, Existential dan Adlerian. Aduh, semua saya suka bagi mempraktik kecuali Psikoanalisis.

Baiklah, rasanya saya perlu berhenti di sini kerana saya perlu menguruskan sesuatu bagi sesi kaunseling pada hari esok. Saya akan terus menyambung entri ini kerana saya sangat mencintai dunia ini.... ^_^

Sekian dahulu, semoga kita terus meraih cahaya cinta Ilahi, amin....


Nota: Sekiranya tuan puan mahu berkongsi isu dengan saya, tuan puan boleh menghantar emel kepada saya melalui kaunselornur@gmail.com.

Tuesday 4 October 2011

ABC....


Dengan nama Allah....


"Alamak, saya belum bayar bil!"

"Aduh, tugasan ini belum siap lagi"

"Klien sudah minta proposal"

"Minggu depan ada program. Saya belum siap outline!"

"Baju kotor semakin bertimbun!"


Pernahkah dialog-dialog di atas bermain di fikiran tuan puan? Ini dialog biasa saya, suatu ketika dahulu sebelum saya mengaplikasi Kaedah ABC daripada buku 55 Petua Orang Berjaya.

Saya yakin tuan puan mengetahui kepentingan menentukan prioriti dalam kerja seharian, tetapi sering kali tidak tahu bagaimana hendak menentukan prioriti. Mungkin tuan puan boleh menggunakan Kaedah ABC. Kaedah ini sememangnya banyak disebut oleh pakar-pakar pengurusan, antaranya Alan Lakein. Kaedah ABC begitu dihargai sehingga dianggap sebagai ‘datuk’ kepada strategi menentukan prioriti.

Bagaimana caranya? Kita mula dengan mengkategori tugasan-tugasan kepada tiga jenis tugasan iaitu A, B, dan C seperti berikut:

1) Tugasan A adalah tugasan yang mesti dibuat secepat mungkin. Selepas selesai pelaksanaannya, tugasan seperti ini dapat memberikan keuntungan yang besar. Sebaliknya apabila ditinggalkan, ia membawa bencana, kesusahan dan kerugian kepada hidup saudara. Unsur segera juga sangat penting dalam tugasan A.

2) Tugasan B pula adalah tugasan yang penting tetapi tidak sepenting tugasan A. Ia boleh ditangguhkan, tetapi tidaklah terlalu lama. Bahkan, mungkin dalam beberapa jam kemudian tugasan B boleh bertukar menjadi tugasan A.

3) Tugasan C adalah tugasan yang boleh diketepikan tanpa memberikan kesan yang begitu besar. Kita masih boleh ‘bertolak ansur’ dengan kesan dan akibat apabila saudara terpaksa mengabaikannya. Kita juga boleh melambat-lambatkan sesetengah tugasan ini kerana ada tugasan yang tidak mempunyai tarikh akhir. Kalau ada yang mempunyai tarikh akhir pun, jaraknya masih jauh lagi. Namun, Tugasan C boleh juga bertukar menjadi tugasan A dan B apabila tarikh akhir menjadi semakin hampir.

Tidak cukup tiga kategori ini? Jangan bimbang, kerana ada satu lagi kategori tugasan ‘tambahan’. Ia dipanggil ‘tugasan D’. Apakah itu tugasan D? Tugasan D adalah kerja-kerja, yang secara teorinya kita tidak perlu melakukannya. Biasanya tiada tarikh akhir.

Sekiranya kita tidak melakukannya, hidup kita tidak terjejas dan tiada masalah yang akan timbul. Tetapi apabila kita berjaya melaksanakannya, kita berasa seronok dan puas. Kadangkala, apabila kita melakukannya (semasa kita tidak ada perkara lain hendak dibuat), kita akan memperoleh ‘habuan’ yang tidak disangka-sangka.

Contohnya, kita mengisi beberapa minit masa terluang bagi menelefon rakan sekolah lama selepas lima tahun tidak bertanya khabar. Tiada apa yang penting dan segera. Sekiranya tidak menelefon pun kuta tidak kehilangan apa-apa. Tetapi kita mendapat tahu rakan itu ahli perniagaan berjaya dan menawarkan satu peluang perniagaan yang sungguh lumayan! Untung, bukan? Oleh itu, jangan melecehkan ‘kuasa’ yang ada pada tugasan D ini.

Selamat menyempurnakan tugasan mengikut prioriti :)


www.KuasaMotivasi.com
*Petua 23, 55 Petua Orang Berjaya

Apabila Allah melindungi....

Dengan nama Allah....

Pada hari Ahad yang lepas, seperti biasa pada malamnya saya akan menyiapkan keperluan sekolah Nusayr dan Nuwayr. Pada waktu yang sama, saya mencuci pinggan mangkuk yang masih ada di dalam sinki. Seperti biasa, saya tidak boleh tidur selagi dapur tidak bersih hehehe....

Sambil mencuci, si kecil Nuwayr 'berborak-borak' dengan saya. Dia menunjuk pelbagai gaya. Tunjuk ke kanan, tunjuk ke kiri sambil mulutnya muncung ke depan. Saya memanaskan botol susunya dalam periuk kecil di atas api kecil. Saya tutup pintu, berhati-hati takut Nuwayr ke sana. Saya sambung menyiapkan bahan-bahan bagi menyediakan sarapan pagi pada esok hari. Sejak saya menjalankan praktikal di sebuah universiti, pagi saya agak sibuk. Seawal jam 4.30 pagi saya sudah bangun. Waktu untuk saya menyediri. Kemudian saya mula menggosok pakaian, menyiapkan beg anak-anak dan menyediakan sarapan pagi dan bekal untuk kami bawa.

Kembali ke malam itu, Nuwayr menarik tangan saya sambil mulutnya berkata sesuatu. Saya faham sangat maksud itu. Dia mengajak ke bilik tidur bagi menyusu dan menemaninya tidur. Seperti biasa, suami saya akan melayan Nusayr sebelum tidur. Anak-anak akan membaca doa tidur. Suami pula akan bertanya soalan biasa, "Apa yang menggembirakan Nusayr hari ini? Nusayr sudah melakukan banyak perkara baik hari ini. Boleh Nusayr beritahu papa? Alhamdulillah, kita melalui hari yang bahagia. Insyaallah kita bertambah bahagia esok hari. Apabila kita bangun, badan kita segar, minda kita segar dan kita gembira. Sekarang, pejam mata dan katakan saya mahu berehat."

Saya pula tidak berniat bagi melelapkan mata kerana saya mahu menyelesaikan beberapa kerja. Lagipun, jam baru 9.30 malam. Tetapi, saya tidak sedar bila saya tertidur.... zzzz

Jam 2 pagi, saya terbangun seolah-olah ada sesuatu mengejutkan saya. Saya bangun mahu mengejutkan suami. Biasanya suami akan bangun awal apabila beliau tidur awal. Tiba-tiba, hidung saya terbau sesuatu. "Astaghfirullah!" Saya berlari-lari ke dapur. Betul jangkaan saya! Allahuakbar! Saya terlupa menutup api dapur. Cuainya! Saya terkejut melihat botol susu anak saya sudah mencair. Tudung botol sedang mencair. Saya cepat-cepat tutup api. Alhamdulillah saya bersyukur kerana Alalh melindungi kami, jika tidak saya tidak tahu apa nasib kami. Apa nasib jiran-jiran, wal'iyazubillah.

Selepas peristiwa itu, saya semakin berhati-hati. Kalau dulu, setiap kali mahu tidur atau keluar rumah saya akan memastikan semua suis, api dapur sudah ditutup. Kali ini, saya memastikan beberapa kali, sebelum tidur atau keluar rumah.

Semua ini selamat apabila Allah melindungi kami....

Monday 3 October 2011

Bersangka baik kerana cinta.

Assalamualaikum. Saya mendoakan semoga tuan puan terus berada dalam ketenangan menguruskan percintaan bersama suami atau isteri. Saya suka berkongsi satu artikel yang ditulis oleh Ust. Pahrol Mohd Juoi. Saya sangat terkesan dengan perkongsian beliau. Saya meletakkan artikel tersebut di sini supaya ia kekal dalam diari cinta saya.

Artikel:


BERSANGKA BAIK DEMI CINTA

08SEP
Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”
“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”
“Mengapa pula?” tanya si isteri.
“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”
“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”
Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’
Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif.


i) Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.
Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?
Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.
Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan.  Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga)  yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.
Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.
Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.
ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.
iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!
iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.
Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?
Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.
v) Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah.  Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?
Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.
Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!
Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.
Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…
Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Sunday 2 October 2011

Hati Emas

Assalamualaikum. Semoga tuan puan sihat sejahtera. Saya mahu bercerita banyak perkara tetapi saya perlu menyiapkan sesuatu yang penting sekarang. Apapun, saya sangat suka untuk berkongsi satu artikel bertajuk Hati Emas yang saya baca dan ambil daripada iloveislam.com. Saya berkongsi isi artikel di bawah:
Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya'tidak berakal'. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu adalah pelita hati. Justeru di dalam Al-Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayat-Nya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran.
Malangnya, sedikit sekali 'orang yang berakal'walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga ramai manusia tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.
Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai 'orang agama' tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.
Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya, hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?
Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak 'berminyak air'. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.
Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.
Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi ilmu yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat ijazah, sarjana mahupun Ph.D apatah lagi profesor.
Ramai hanya di tahap 'lepas fardu Ain'. Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi 'hati yang bercahaya' berbanding 'otak yang bergeliga', hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.
Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.
Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah 'orang-orang kecil' yang begitu besar dalam arena pendidikan.
Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan 'murid-murid' tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat.
Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinisikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara 'simple' menyampaikan ilmu itu secara amaliah.
Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka.
Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya 'harta' yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.
Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa 'glamour' dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .
Tegasnya,  mereka ini  tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk 'universiti kehidupan' – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.
Sahabat-sahabat ku, kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan.
Ya, tiada kata secantik bahasa, untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!
Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan, di nota hati yang 'bergenta' beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu)  untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah 'orang agama'menjadi fitnah terhadap agama.
Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalahwww.genta-rasa.com.