Thursday 29 September 2011

Motivasi hebat Hassan Al-Banna.

Saya terbaca satu motivasi yang sungguh hebat daripada Hassan Al-Banna. (Saya terlupa nama majalah yang saya baca). Kata-kata itu menggetarkan jantung saya seolah-olah saya sedang menatap surat cinta. Ya, ini juga boleh diterima sebagai kata-kata cinta. Masakan tidak dianggap begitu, kerana kata-kata itu hanya terbit daripada fikiran dan jiwa yang penuh dengan cinta kepada Tuhan.

Saya berkongsi dengan sahabat semua, motivasi hebat Hassan Al-Banna:

Aku tahu rezekiku tidak akan diambil orang lain, kerana itulah kalbuku selalu tenang.
Aku tahu amal perbuatanku tidak akan dapat ditunaikan orang lain, kerana itulah aku sibuk mengerjakannya.
Aku tahu Tuhan mengawasiku, kerana itulah aku selalu merasa malu Dia melihatku dalam keadaan maksiat.
Aku tahu kematian itu sudah menungguku, kerana itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuanku dengan Tuhan....



Kata-kata ini sungguh indah bukan? Pada pendapat saya, ia satu motivasi yang hebat bagi menikmati kehidupan sementara ini. Kita biasa berjumpa dengan manusia yang selalu risau dengan rezekinya. Mereka takut bagi memberi sedekah kerana takut rezekinya berkurang. Ada juga yang marah-marah dan sedih apabila tidak dapat memiliki sesuatu atau hilang sesuatu yang sudah mereka memiliki. Saya pasti, mereka akan bertenang dan berlapang dada sekiranya mereka kembali berfikir bahawa itu bukan rezeki mereka. Tuhan pasti memberi rezeki yang lebih setimpal dengan usaha yang mereka kerjakan.

Saya teringat pesanan Al-Fadhil Datuk Hashim Yahya, mantan pensyarah saya di universiti dahulu. Pesan beliau, "Jika kamu mahu menjadi hamba Tuhan yang lebih baik, kamu bandingkanlah amalan kamu dengan orang yang lebih soleh dan lebih hebat daripada kamu. Nescaya, kamu akan sentiasa berfikir bagi berusaha menambah amalan kamu. Jika kamu mahu jadi orang yang lebih bersyukur, bandingkanlah keadaan kamu dengan mereka yang kurang sempurna keadaannya daripada kamu. Nescaya, kamu akan sentiasa berterima kasih kepada Tuhan kerana mengurniakan keadaan yang lebih baik kepadamu." Apabila kita sentiasa berfikir bahawa hanya kita sahaja yang boleh menunaikan amalan soleh sebagai bekal kita nanti, tentu kita akan sibuk mengerjakannya. Kita tentu tidak mempunyai masa bagi meng'intai' kehidupan orang, meng'komplen' ketidak sempurnaan orang lain dan sebagainya.

Takwa juga satu motivasi hebat dalam kata-kata Hassan Al-Banna. Pada pendapat saya, takwa bukanlah bermaksud kita takut kepada Tuhan. Ia bermaksud memelihara diri kita daripada melakukan perkara yang boleh mendatang kemurkaan Allah kepada kita. Ia dilakukan dengan melakukan perkara yang wajib dan sunnat serta meninggalkan perkara yang haram dan makruh. Apabila kita bertakwa, tentulah kita sentiasa mengerjakan perkara-perkara yang mendatangkan kasih sayang Tuhan.

Motivasi yang paling hebat adalah kematian, iaitu satu rahsia Tuhan yang Maha Mengetahui. Itulah tarikh tamat satu kehidupan. Tiada lagi amalan yang boleh ditambah sebagai bekal. Apa yang tinggal adalah doa anak yang soleh, pahala ilmu yang bermanfaat  kepada orang lain dan pahala sedekah yang kita kerjakan. 

Apapun, saya yakin kita semua sentiasa berusaha meraih cahaya cinta daripada Tuhan.... :)

No comments:

Post a Comment